Friday, 9 December 2011

Perihal Perkataan "akan"

Haiii..salam sejahtera semua..Pada kali ini saya ingin memberikan fokus pada penggunaan perkataan "akan". Didapati bahawa masih banyak kekeliruan yang berlaku dalam kalangan pengguna bahasa berkaitan dengan perkataan ini. Oleh sebab itu, diharapkan penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman yang lebih baik tentang fungsi dan cara penggunaan perkataan "akan".

Perkataan akan ini tergolong dalam golongan kata bantu dan kata sendi nama. Sebagai kata bantu, penggunaannya tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana mudah untuk difahami. Kata bantu aspek ini menunjukkan keterangan masa atau waktu, iaitu suasana pada masa depan. Berpandukan kamus, ia akan membawa maksud "untuk menyatakan sesuatu kemungkinan (hendak terjadi sesuatu), untuk menyatakan jangkaan tentang sesuatu (kejadian, perlakuan, perkembangan dan lain-lain)".

Ayat contoh adalah seperti berikut :-
  1. Kami akan ke Pulau Pinang pada hari esok.
  2. Pihak sekolah akan mengadakan program kecemerlangan murid.
  3. Ibu akan memasakkan kami nasi beriani.
Sebagai kata sendi nama, akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif.

Ayat contohnya adalah seperti berikut :-

  1. Adik saya gemar akan buah rambutan.
  2. Murid-murid di kelas itu benci akan perangai budak nakal itu.
  3. Kita mestilah cinta akan negara.   
Terdapat beberapa kecenderungan sesetengah pihak yang menggunakan "kan" untuk menggantikan perkataan "akan". Hal ini mestilah dielakkan kerana bentuk ayat yang terhasil tidak tepat dan menyalahi tatabahasa. 
Cuba perhatikan ayat di bawah yang tidak tepat penggunaannya.

  1. Adik saya gemarkan buah rambutan. (salah)
  2. Murid di kelas itu bencikan perangai budak nakal itu. (salah)
  3. Kita mestilah cintakan negara. (salah)
Sekiranya menginginkan kelainan dalam ayat, adik boleh menggantikan bentuk tersebut dengan penggunaan imbuhan apitan meN- atau meN-....-i, seperti contoh di bawah.
  1. Adik saya menggemari buah rambutan.
  2. Murid-murid di kelas itu membenci perangai budak nakal itu.
  3. Kita mestilah mencintai negara.
Anda tidak boleh meletakkan perkataan akan selepas perkataan menggemari, membenci dan mencintai. sekiranya perkataan akan diletakkan selepas perkataan tersebut, ayat yang terbina tidak tepat. Contohnya :-

  1. Adik saya menggemari akan buah rambutan. (salah)
  2. Murid di kelas itu membenci akan perangai budak nakal itu. (salah)
  3. Kita mestilah mencintai akan negara. (salah)
Di samping itu, perkataan akan turut membawa maksud "adapun, perihal, mengenai, dan tentang". Ayat contohnya adalah seperti berikut :-

  1. Akan sekarang putera raja itu sudahlah besar dan boleh berdikari.
  2. Akan harta peninggalan datuknya itu, mereka akan membahagikan sama rata.
Sekian,sampai disini dulu ya kawan-kawan..selamat bertemu lagi...

*salam manis*
(maslina azura)

No comments:

Post a Comment