Tuesday, 20 December 2011

Rahsia Sujud Pada Perkembangan Otak Manusia...

Berkongsi sedikit ilmu tentang agama bersama rakan-rakan sekalian. Disini saya ingin mengisahkan tentang kebaikan dan kelebihan sujud pada perkembangan otak kita. Kajian ini dijalankan oleh Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara sempurna. Jurucakap MICNA Jordan berkata, "ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika bersembahyang".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya pada urat saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja. "Ini bermaksuddarah akan memasuki bahagian urat saraf tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam," katanya dalm kenyataan pada Majalah Buletin Bulanan MICNA Jordan.

Doktor tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah. Pada hal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Doktor terseburt berasa amat kagum dengan penemuan tersebut hingga ia tidak dapat diterima oleh akal fikiran.

Kini doktor tersebut telah memeluk Islam dan dengan itu beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui Al-Quran". Beliau telah membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya.

Beliau berkata, "manusia yang tidak bersembahyang, walaupun akal mereka berfungsi secara normaltetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal,". Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu melakukanperkara bertentangan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang dilakukan itu adalah salah. Ini kerana otak mereka tidak boleh untuk membuat pertimbangan secara normal.



-salam manis-
(maslina azura)

Monday, 12 December 2011

Puisi Melayu Tradisional - (Talibun)

Selamat pagi semua dan selamat bertemu kembali...Jangan bosan ya datang ke blog saya ni...Maaf sebab tak banyak entry yang dapat saya kongsikan dengan anda semua..Kadang-kadang kesibukan tugasan lain mengganggu masa untuk berceloteh disini..Tapi, saya tetap akan berada disini bersama anda bila-bila sahaja tau...Jadi, jangan la berhenti singgah kat blog saya yang simple ni...Sokongan daripada anda semua sangat memberi semangat buat saya.. :)

Hari ini saya nak kongsikan tentang satu daripada puisi Melayu tradisional kita iaitu "Talibun". Talibun?Apa lah agaknya ya 'talibun' ni...Sebenarnya kan kawan-kawan, saya sendiri baru pertama kali tahu tentang puisi ini. Jadi, mari kita belajar mengenal apakah sebenarnya puisi "talibun" ini. Jom ikot saya... :)


*********************************************************************

TALIBUN

Apakah Talibun?

Talibun turut dipanggil sesomba, iaitu puisi Melayu tradisional yang biasa terdapat dalam penglipur lara. Anda tentu pernah membaca cerita-cerita penglipur lara seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Sememangnya cerita tersebut ditulis dalam karangan yang panjang, tetapi sebahagiannya ditulis dalam bentuk puisi. Puisi inilah yang disebut talibun. Talibun ini ditulis untuk menceritakan sesuatu perkara secara khusus. Contohnya kecantikan seseorang puteri seperti berikut :

Pipi bagai pauh dilayang,
Hidung kuntum bunga serayu,
Telinga telepuk layu, 
Dahi bagao sehari bulan,
Kening bagai bentuk taji, 
Leher jinjang buyung petani,
Lengan seperti baur panah,
Jari halus tombak serai,
pinggang secekak jari manis,
Betis bagai bunting padi,
Tumit bagai telur burung,
Ibu kaki bungkal setahil.

-Hikayat Awang Sulung Merah Muda-


Bagaimana mengenal Talibun?

Talibun mempunyai sifat yang tersendiri seperti puisi Melayu tradisional yang lain. Antra cirinya termasuklah yang berikut :

  • Terdapat dalam cerita penglipur lara
  • Berbentuk bebas, iaitu tidak mempunyai jumlah baris dan rangkap tertentu.
  • Isinya menceritakan sesuatu perkara secara khusus. Contohnya, kehebatan pahlawan, kecantikan seorang puteri, kehebatan seorang putera raja, keindahan sesuatu tempat, keindahan atau kehebatan pakaian yang dipakai oleh anak raja dan gambaran suasana peperangan.
  • Sesuatu rangkap talibun boleh digunakan berulang kali untuk menceritakan perkara yang sama dalam sesebuah cerita.
  • Pada masa dahulu, talibun didendangkan dengan irama tertentu oleh penglipur lara untuk menarik perhatian penonton.

Kesimpulan

Talibun menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu menggunakan unsur alam di sekeliling mereka untuk menceritakan sesuatu perkara dengan lebih jelas dan teliti. Hal ini dikatakan demikian kerana talibun turut menunjukkan daya kreatif dan daya imaginasi yang tinggi. Bagaimanakah pula dengan rakan semua? Mampukah anda mengarang dengan data imaginasi yang tinggi dan kretif seperti mereka? Apa kata kita cuba pula ya? Selamat berjaya...


**********************************************************

Sampai disini dahulu entry dan ilmu saya kali ini. Ada peluang dan kelapangan saya akan kongsikan dengan anda semua ya. Selamat berhibur dan berkongsi ilmu. Jumpa lagi. Senyum selalu..


*salam manis*
(maslina azura)

Sunday, 11 December 2011

Penggunaan Tanda Soal dan Tanda Seru...



Hai semua..Harap-harap sedang kelapangan saat menjengah blog saya ini ya..Mari kita belajar Bahasa Melayu dalam entry saya kali ini..Saya cuba berkongsi dengan anda semua tentang "penggunaan tanda soal dan tanda seru"....Bolehlah kita kongsikan ilmu ini bersama-sama..Sila beri tunjuk ajar jika ada kesilapan saya disini ya....Selamat belajar bersama saya :)

********************************************************

Tanda baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca , atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan menjejaskan kelancaran penggunaan ayat dalam penulisan. Hal ini memungkinkan wujudnya kekeliruan memahami maklumat yang tersirat dalam karangan pelajar. 

Mari kita fahami penggunaan tanda soal dan tanda seru.

  • Tanda Soal
Tanda soal digunakan pada akhir ayat untuk menyatakan soalan, sama ada ayat itu dimulai dengan kata tanya atau tidak. Contohnya :

  1. Berapa harikah dia akan tinggal di sini?
  2. Hasyimah itu anak Sulaiman?
  3. "Apakah yang harus aku lakukan?" tanya Zuhairi
Selain itu, tanda soal boleh juga digunakan untuk menyatakan bahagian ayat yang diragui kebenarannya atau kurang dapat dibuktikan kebenarannya. Tetapi, tanda soal itu hendaklah ditulis di dalam tanda kurung (.......). Contohnya seperti berikut :

  1. Beliau meninggal dunia pada tahun 1985 (?).
  2. Anak Raja dan Anak Papa (?) diterbitkan pada tahun 1958.
  3. Kerugian yang dialami berjumlah lima juta ringgit (?).

  • Tanda Seru
Tanda seru pula digunakan untuk mengakhiri ayat seruan. Cara penggunaan tanda seru ini adalah seperti berikut :

    (a) Sesudah ungkapan atau pernyataan yang berunsur seruan, arahan, perintah dan penegasan. Contohnya :
  1. Berjaya!
  2. Berhenti!
  3. Syabas!
   (b) Gambaran emosi yang kuat seperti sedih, suka, hairan, takut, sakit, kagum, dan sebagainya. Contohnya:

  1. Amboi, cantiknya pakaian yang diperaganya itu!
  2. Wah, besarnya rumah awak!
  3. Aduh, sakitnya kepalaku!
Demikianlah serba sedikit penerangan tentang penggunaan beberapa tanda baca dalam penulisan. Lainkali kita bersua dan berbincang lagi ya..

*salam manis*
(maslina azura)

Belajar Sejarah Penting Negara Sepanjang Oktober

Assalammualaikum semua...Cerita kali ini saya nak kongsikan ilmu tentang sejarah pula...Kalau kawan-kawan mengajar di sekolah rendah, bolehlah terapkan dalam pembelajaran Kajian Tempatan kan...tapi kalau mengajar di sekolah menengah pastinya ada belajar tentang Sejarah Malaysia....Jadi, jom lah kongsikan sama-sama ilmu ni dengan anak-anak murid kita ya....Mari semua kita kembali pada sejarah negara.... :)

1) Kereta Api Bukit Bendera

pandangan Bukit Bendera satu masa dahulu

Laluan keretapi di Bukit Bendera pada awal penggunaanynya..


Kereta api Bukit Bendera semakin dimajukan dari masa ke semasa.

Pada 21 Oktober 1923, perkhidmatan kereta api kabel di Bukit Bendera, Pulau Pinang atau dahulunya dikenali sebagai "Penang Hill" mula  beroperasi. Bukit yang ketinggian 830 meter dari paras laut itu merupakan bukit yang pertama di negara ini mempunyai stesen kereta api. Usaha untuk membangunkan perkhidmatan kereta api kabel di Bukit Bendera dibuat oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat selepas Perang Dunia Pertama. Perkhidmatan kereta api kabeel pertama di Asia Tenggara ini dirasmikan oleh Sir Lairence Nunns Gulliemard, Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1 Januari 1924.

Kereta api kabel dengan gerabak yang diperbuat daripada kayu ini digunakan hampir 55 tahun, sebelum digantikan dengan gerabak buatan Swiss yang lebih moden dan besar ditempah daripada Swiss Engineering Work Hubegger Limited dengan harga RM 2.3 juta. Gerabak baharu tersebut mampu memuatkan penumpang sebanyak 80 orang bagi satu perjalanan. Kini, kereta api kabel rekaan Arnold R.Johnson itu menjadi sejarah untuk tatapan umum. Kereta api itu sekarang dipamerkan di puncak Bukit Bendera dan di Muzium Negara, Kuala Lumpur.


2) Menara Kuala Lumpur

dari sudut pandangan pada waktu siang


Menara Kuala Lumpur pada waktu malam

Pada 1 Oktober 1996, Menara Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Nanas dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Menara yang dibina bagi tujuan mempertingkatkan khidmat telekomunikasi dan sistem pemancar di negara ini terletak 515 meter dari aras laut dengan ketinggian 421 meter. Kerja-kerja asas pembinaannya dimulakan pada Oktober 1991 dan pembinaan menara tersebut dimulakan pada tahun 1993 sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1996.

Arkitek pembinaan menara ini ialah Datuk Nik Mohammed Nik Mahmud. Keistimewaan menara ini terletak pada kubah di pintu masuk ke lobi yang dihiasi dengan kepingan cermin mozek yang dibuat oleh pekerja dari Isfahan, Iran. Reka bentuknya dipengaruhi oleh sebi bina Islam, jerman, Perancis dan tempatan, manakala hiasan dalamannya berkonsepkan seni bina Islam.  Menara Kuala Lumpur merupakan menara telekomunikasi kelima tertinggi di dunia selepas Menara CN di Kanada, Menara Ostankino di Rusia, Menara Shanghai di China dan Borj-e Milad di Iran.

3) Mahkamah Persekutuan Malaysia



Pandangan Mahkamah Persekutuan Malaysia dari sudut berbeza

Pada 1 Oktober 1963, Mahkamah Persekutuan Tanah Melayu dirasmikan oleh Peguam Negara Datuk C.M. Sheridan. Upacara bersejarah tersebut berlangsung di Bangunan Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur. Mahkamah Persekutuan dianggotai Ketua Hakim Negara sebagai Ketua, dua orang Hakim Besar dan empat orang Hakim Persekutuan. Pelantikan tersebut diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Ketua Hakim Negara yang pertama ialah Datuk Jamnes B. Thomson yang berkhidmat sejak tahun 1963 hingga 1966. Penubuhan Mahkamah persekutuan memberikan impak yang sangat besar ertinya untuk sesebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan. Hal ini yang demikian kerana penubuhan Mahkamah Persekutuan disifatkan sebagai reformasi kepada sistem kehakiman di negara ini.

  
Inilah dia sejarah terpenting negara sepanjang bulan Oktober yang dapat saya kongsikan bersama anda semua...Semoga ilmu ini banyak membantu dan memberi pengetahuan...Selamat berjumpa lagi di ruangan yang lain pula...

*salam manis*
(maslina azura)

Saturday, 10 December 2011

Mari Belajar ABC..

Salam sejahtera semua teman dan rakan...Hari ini saya nak kongsikan satu tayangan video dengan anda semua...Video tayangan ini sangat sesuai untuk guru-guru prasekolah sebenarnya...Sebagai langkah permulaan dan pengenalan pengajaran ABC kepada murid-murid anda...Jom kita tonton video ini dan kongsi ilmu bersama-sama ya...Selamat bergembira dan terhibur... :)


Mari Belajar ABC....

*salam manis*
(maslina azura)

Permainan Rakyat...

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua...
Haiii,nampaknya kita bersua lagi ya...Macam mana dengan pembelajaran yang lalu...Saya harap rakan-rakan dapat mengaplikasikannya bersama..Kali ini saya nak kongsikan sesuatu pula..Kalau tengok pada tajuk entry kat atas tentu semua dah tahu kan....saya nak kongsikan tentang satu permainan rakyat...Apalah agaknya ya permainan rakyat tu??

Haaa,ini dia..Saya nak kongsikan tentang permainan "Cari Cucu"...nampaknya rakan-rakan dah tahu ya..Semua di kalangan kita telah melalui zaman kanak-kanak dulu dan permainan inilah merupakan satu permainan yang biasa kita main bersama rakan-rakan kan...???Cuma apabila zaman semakin maju, nampaknya anak-anak zaman sekarang sudah melupai permainan rakyat ni...Oleh itu, apa kata kita kongsi pengalaman zaman kanak-kanak kita dan aplikasikannya dalam pengajaran kita nanti..Tentu sahaja menyeronokkan kan...Jom kawan-kawan main "cari cucu" bersama saya...

***************************************************************

Permainan "cari cucu" ini merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak di luar rumah, contohnya di halaman rumah. Permainan ini dimainkan dengan jumlah pemain yang ramai. Sehelai sapu tangan atau kain akan digunakan untuk menutup mata dan sebatang tongkat untuk menggayakan seperti seorang nenek tua.

* Peraturan Permaian *

Sebelum permainan dimulakan, seorang daripada ahli kumpulan perlu dipilih untuk menjadi nenek.  Bagi menentukan siapakah yang menajdi nenek, maka undian secara 'lai lai li tam plom' perlu dijalankan. Yang kalah dalam undian tersebut ditutup matanya menggunakan sapu tangan untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat akan dipegang oleh nenek tersebut dan perlu berkelakuan atau menggayakan aksi seperti nenek tua yang buta. 

Kesemua ahli yang lain hendaklah membuat bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan antara satu sama lain. Lagu di bawah ini perlu dinyanyikan oleh cucu (pemain yang membuat bulatan) secara beramai-ramai. 

Nenek, nenek, si bongkok tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari cucu di mana ada,
Nenek nak kahwin dengan anak raja.

Ketika cucu menyanyi dan bergerak mengikut arah pusingan jam atau berlawanan mengelilingi nenek, maka nenek hendaklah berlakon seperti orang buta yang terbongkok-bongkok menggunakan tongkat mencari jalan. setelah cucu tamat menyanyi, nenek pula yang akan menyanyi seperti berikut :

Cucu, cucu tak dapat lari,
Nenek tua banyak sakti,
Sekarang nenek nak cari ganti,
Siapa yang kena dia yang jadi.

Setelah selesai nenek menyanyi, cucu perlu mencangkung dan mendiamkan diri supaya nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat, nenek mencari cucu yang mendiamkan diri di sekelilingnya. Setekah berjaya menangkap seorang cucu, nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul. Sekiranya tekaan nenek itu betul, maka pemain tersebut pula akan menjadi nenek. Jika tekaan itu tidak tepat, maka pemain yang sama akan terus menjadi nenek dan permainan diteruskan.


Jom nyanyi sama-sama....

***************************************************************

Seronokkan kalau diingat-ingat semula zaman kanak-kanak dulu. Apa kata kita aplikasikan semasa pengajaran Pendidikan Jasmani atau Bahasa Melayu. Sebagai permulaan untuk menarik minat murid belajar. Selamat mencuba ya..

*salam manis*
(maslina azura)

Bahan Pembelajaran Interaktif Bahasa Melayu

Apakata kita sama-sama berkongsi ilmu di sini untuk anak-anak murid kita. Banyak soalan Bahasa Melayu yang telah disediakan. Jadi, boleh lah kita memperkayakan lagi bahan untuk sessi latihan ya...Semoga anak-anak murid kita akan lebih berjaya... ;)


*salam manis*
(maslina azura)

Friday, 9 December 2011

Perihal Perkataan "akan"

Haiii..salam sejahtera semua..Pada kali ini saya ingin memberikan fokus pada penggunaan perkataan "akan". Didapati bahawa masih banyak kekeliruan yang berlaku dalam kalangan pengguna bahasa berkaitan dengan perkataan ini. Oleh sebab itu, diharapkan penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman yang lebih baik tentang fungsi dan cara penggunaan perkataan "akan".

Perkataan akan ini tergolong dalam golongan kata bantu dan kata sendi nama. Sebagai kata bantu, penggunaannya tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana mudah untuk difahami. Kata bantu aspek ini menunjukkan keterangan masa atau waktu, iaitu suasana pada masa depan. Berpandukan kamus, ia akan membawa maksud "untuk menyatakan sesuatu kemungkinan (hendak terjadi sesuatu), untuk menyatakan jangkaan tentang sesuatu (kejadian, perlakuan, perkembangan dan lain-lain)".

Ayat contoh adalah seperti berikut :-
  1. Kami akan ke Pulau Pinang pada hari esok.
  2. Pihak sekolah akan mengadakan program kecemerlangan murid.
  3. Ibu akan memasakkan kami nasi beriani.
Sebagai kata sendi nama, akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif.

Ayat contohnya adalah seperti berikut :-

  1. Adik saya gemar akan buah rambutan.
  2. Murid-murid di kelas itu benci akan perangai budak nakal itu.
  3. Kita mestilah cinta akan negara.   
Terdapat beberapa kecenderungan sesetengah pihak yang menggunakan "kan" untuk menggantikan perkataan "akan". Hal ini mestilah dielakkan kerana bentuk ayat yang terhasil tidak tepat dan menyalahi tatabahasa. 
Cuba perhatikan ayat di bawah yang tidak tepat penggunaannya.

  1. Adik saya gemarkan buah rambutan. (salah)
  2. Murid di kelas itu bencikan perangai budak nakal itu. (salah)
  3. Kita mestilah cintakan negara. (salah)
Sekiranya menginginkan kelainan dalam ayat, adik boleh menggantikan bentuk tersebut dengan penggunaan imbuhan apitan meN- atau meN-....-i, seperti contoh di bawah.
  1. Adik saya menggemari buah rambutan.
  2. Murid-murid di kelas itu membenci perangai budak nakal itu.
  3. Kita mestilah mencintai negara.
Anda tidak boleh meletakkan perkataan akan selepas perkataan menggemari, membenci dan mencintai. sekiranya perkataan akan diletakkan selepas perkataan tersebut, ayat yang terbina tidak tepat. Contohnya :-

  1. Adik saya menggemari akan buah rambutan. (salah)
  2. Murid di kelas itu membenci akan perangai budak nakal itu. (salah)
  3. Kita mestilah mencintai akan negara. (salah)
Di samping itu, perkataan akan turut membawa maksud "adapun, perihal, mengenai, dan tentang". Ayat contohnya adalah seperti berikut :-

  1. Akan sekarang putera raja itu sudahlah besar dan boleh berdikari.
  2. Akan harta peninggalan datuknya itu, mereka akan membahagikan sama rata.
Sekian,sampai disini dulu ya kawan-kawan..selamat bertemu lagi...

*salam manis*
(maslina azura)

Ayuh Bersyair...


Hai semua rakan dan teman....Selamat bertemu kembali....Nampaknya kali ini, saya nak kongsikan sedikit ilmu dengan anda semua la...Hanya sepintas lalu tentang 'syair'....Jum ikut saya mengenali apa itu syair???

Contoh Syair : Syair Siti Zubaidah

Taatlah kepada suami tuan, 
Janganlah menderhaka jangan melawan,
Jadikan dirimu bersifat setiawan.

Jangan sekali berniat khianat, 
Apalagi kurang amanat,
Pekerjaan wajib bukannya sunat,
Jika dilawan mendapat laknat.

Pertama di dunia mendapat malu,
Di dalam akhirat tubuh berpalu,
Masyhur khabar ke hilir ke hulu,
Sebab perangai tidak bermalu.


* Asal-usul Syair *

Syair ialah puisi Melayu yang terhasil daripada pengaruh Islam dalam tradisi sastera Parsi dan Arab. Perkataan "syair" sebenarnya berasal daripada bahasa Arab iaitu "syir".

Walaubagaimanapun, bentuk syair ini memang milik masyarakat Melayu sepenuhnya. Kita hanya meminjam perkataan "syir" untuk menamakan puisi yang kita sebut sebagai syair itu.

Tokoh pertama yang mempelopori syair Melayu ialah Hamzah Fansuri dengan syair beliau yang bertajuk Syair Perahu dan Syair Burung Pingai.


* Bagaimanakah kita hendak mengenal syair?? *

Syair terdiri daripada empat rangkap dalam satu baris dengan rima akhirnya a/a/a/a. Jumlah perkataan dalam satu baris biasanya mempunyai empat patah. Setiap rangkap syair akan menceritakan tentang sesuatu perkara kecil. Selain itu, syair juga memerlukan lebih banyak rangkap untuk menerangkan keseluruhan cerita.  Syair didendangkan dengan irama tertentu seperti selendang delima dan narasi.


* Jenis-jenis Syair *

Terdapat beberapa jenis syair yang boleh dikenalpasti melalui isi yang disampaikan. Antaranya termasuklah yang berikut :

Syair Nasihat - Isi penceritaannya berisi nasihat dan pengajaran.

Syair Romantis - Isi penceritaannya berkisar tentang kisah cinta dan pengorbanan, seperti yang terdapat dalam cerita rakyat, penglipurlara dan hikayat.

Syair Agama - Isi penceritaannya pula berkisarkan tentang hal-hal agama seperti hal ibadat dan amalan2-amalan yang dituntut oleh agama.

Syair Sejarah - Isinya berkaitan tentang cerita-cerita sejarah.


Hakikatnya syair melambangkan kekayaan warisan puisi Melayu tradisional. Walaupun mempunyai pengaruh Arab dari segi namanya, bentuknya tetap hasil ciptaan masyarakat Melayu sejati. Syair yang disampaikan menerusi irama tertentu bukan sahaja menghiburkan, malahan membantu menyampaikan mesej kepada pembaca.


*salam manis*
(maslina azura)



Selamat Datang


Assalammualaikum semua teman....
Haiii...salam sejahtera dan selamat berjumpa di sini....Salam pertemuan di blog saya ini ya...Boleh lah kita sama-sama berkongsi ilmu dan cerita atau apa jua pengalaman bersama saya...Moga-moga teman dan rakan semua dapat membantu saya dalam apa jua perkembangan saya...

Untuk pengetahuan teman dan rakan semua, sebenarnya banyak juga halangan saya untuk mengahsilkan blog ni.Jujurnya memanglah nak menghasilkan blog ni tidak sesusah mana..tapi,saya pun tak pasti kenapa ada sahaja halangan saya. Blog saya ni sebenarnya adalah blog kedua yang saya hasilkan. Kelakar lah pulak bila saya fikir-fikir semula,entah macam amna blog pertama saya boleh hilang macam tu aje...Padahal saya tak removed pun blog saya tu..tapi nak buat macam mane kan,bila blog tu dah hilang dan tak boleh buka,terpaksalah saya cipta yang baru pula.....

Itulah namanya ilmu kan...Bukan mudah kalau kita tak berusaha untuk dapatkannya...Ape jua yang kita perlu buat, perlu ada usaha dengan sepenuh hati..Buat sehabis baik, baru lah dapat hasilnya...Bila ada halangan jangan mudah putus asa...Cuba dan terus mencuba...sama macam apa yang sedang saya lakukan sekarang...Jadi kawan-kawan semua, sama-samalah membantu saya ya....supaya saya tak rasa keseorangan...

Selamat berjumpa lagi di ruangan yang akan datang....

*salam manis*
(maslina azura)